Pemandu lori diserang sakit jantung, merempuh 7 kereta

Salah sebuah tujuh kenderaan yang dirempuh lori membawa batu pasir pada pagi tadi.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 Ogos: Tujuh kenderaan rosak akibat dirempuh sebuah lori membawa muatan batu pasir yang terbabas selepas pemandunya hilang kawalan dipercayai mengalami sakit jantung.

Kejadian berlaku di bahu jalan berdekatan simpang Kampung Lopeng Tengah pagi tadi (Jumaat).

Sebelum kejadian, beberapa kenderaan sedang parkir di bahu jalan tersebut untuk membeli kuih-muih dari sebuah gerai berdekatan dan ada yang pergi ke sebuah surau bersebelahan dengan gerai tersebut untuk solat suboh.

Lokasi kejadian juga berhampiran dengan sebuah sekolah dan tadika.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, lori tersebut dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun merempuh tujuh kenderaan masing-masing jenis Proton Exora; Proton Saga; Proton Pesona; Perodua Bezza; Honda City dan Perodua Rusa.

Pemandu lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian satu jam kemudian, manakala seorang pemilik kenderaan yang dirempuh, dilaporkan cedera di bahagian kepala dan tangan, telah dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, mangsa yang cedera itu, berusia 34 tahun, baru sahaja selesai membeli kuih-muih dari gerai berkenaan dan menuju masuk ke keretanya yang diparkir di bahu jalan sebelum dirempuh lori berkenaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.—DayakDaily