Pemandu kereta nyaris maut rempuh treler

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta.

BINTULU, Sept 10: Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya merempuh sebuah treler di Batu 5, Jalan Bintulu-Miri di sini awal hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.05 pagi itu mengakibatkan seorang lelaki tersepit dalam kereta tersebut.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.07 pagi.


Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi kemalangan, anggota bomba mendapati sebuah kereta Perodua Kancil dalam keadaan terperosok di bawah treler itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang pemandu dalam keadaan tersepit, namun dia masih lagi dalam keadaan sedar,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan hidrolik.

Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pemandu treler pula tidak berada di lokasi kejadian kerana meletakkan kenderaan berat berkenaan di tepi jalan itu,” katanya. — DayakDaily