Pemandu kereta maut dalam nahas di Kota Samarahan

Kereta mangsa yang terbabas ke dalam parit.

KOTA SAMARAHAN, 20 Mac: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan di Jalan Entinggan-Kampung Pinang awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Chong Poh Pin, berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Mangka, Kota Samarahan.

Mangsa semasa kejadian dikatakan memandu sebuah kereta dari arah Kota Samarahan menuju ke Kampung Pinang iaitu sekitar jam 5.50 pagi.


“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan semasa melalui jalan berselekoh lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Mangsa dikatakan melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang bergerak dari Kampung Pinang menuju Samarahan.

“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan kereta mangsa terbabas ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota perubatan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS).

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily