Pemandu kereta cemas, kereta dipandu terbakar

Anggota bomba memadam kebakaran sebuah kereta.
Advertisement

KUCHING, Jun 16: Seorang pemandu kereta berdepan dengan situasi mencemaskan apabila kereta jenis Hyundai yang dipandunya tiba-tiba berasap sebelum terbakar di Jalan Green di sini malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu, pemandu kereta tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 10.43 malam.

Advertisement

Katanya, apabila tiba komander operasi melaporkan terdapat sebuah kereta Hyundai telah terbakar 100 peratus di bahagian enjinnya.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuat operasi pemadaman api bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta itu berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap sama memberitahu, anggota bomba berjaya memadam kebakaran itu pada pukul 10.55 malam.

Katanya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas balik ke Balai Bomba selepas keadaan terkawal sepenuh. — DayakDaily

Advertisement