Pemandu keluar dari lori terbakar berjaya selamatkan nyawa

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah lori.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BETONG, Dis 27: Tindakan pantas seorang pemandu lori keluar berjaya menyelamatkan diri daripada kejadian tidak diingini apabila kenderaan yang dipandunya terbakar di simpang Jalan Betong di sini hari semalam.

Kejadian kira-kira pukul 8.35 pagi itu telah menyebabkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan batu terbakar kira-kira 70 peratus.

Advertisement

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.38 pagi.

Jelasnya, sejurus itu sepasukan sembilan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar tayar kenderaan itu sebelum api merebak ke bahagian belakang lori berkenaan.

“Operasi pemadaman terus dijalankan dengan menggunakan satu aliran saluran bantu mula air dari tangki jentera sehingga api dapat dikawal sepenuhnya,” katanya.

Henry menambah, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kes berkenaan.

“Operasi ditamatkan pada pukul 9.23 pagi selepas keadaan di lokasi kejadian terkawal dan selamat untuk pengguna jalan raya lain,” ujarnya. -DayakDaily

Advertisement