Pemandu Kancil dirempuh 4WD terbunuh akibat cedera parah

Keadaan kereta mangsa yang terbabas akibat dirempuh 4WD tersebut.

KOTA SAMARAHAN, Nov 14: Seorang lelaki terbunuh selepas terlibat dalam nahas jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 21 Jalan Dato Mohd Musa, di sini malam Ahad.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Wesdy Nuria berusia 36 tahun dan berasal dari Kampung Sarayan, Lundu.

Menurutnya, kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 11.20 malam.


“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi dari arah Batu 7 tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Ekoran itu, dua buah kereta iaitu sebuah Myvi dan sebuah Kancil telah dilanggar menyebabkan kedua-dua pemandu dilaporkan mengalami kecederaan parah.

“Pemandu Kancil (mangsa) bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Bingkok dalam satu kenyataannya di sini tadi.

Pemandu Myvi dan Mitsubishi tersebut kemudian dibawa ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Siasatan lanjut pihak polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih dijalankan. — DayakDaily