Pemandu Honda Prelude dakwa ambulans tidak bunyikan siren, punca kemalangan

Keadaan ambulans yang terbalik dalam kemalangan tersebut.

KUCHING, 29 Ogos: Seorang pemandu ambulans dan pembantunya cedera selepas terlibat dalam kemalangan di simpang lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce sekitar jam 6.20 petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata kemalangan berlaku apabila ambulans yang bergerak dari Batu 3 telah berlanggar dengan sebuah kereta yang datang dari arah Wisma Saberkas.

Katanya, perlanggaran tersebut menyebabkan ambulans terbalik dan kereta jenis Honda Prelude rosak di bahagian hadapan.


Jelas beliau, siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai adalah disebabkan kecuaian pemandu ambulans yang tidak cermat ketika melalui lampu isyarat merah.

Selain itu, pemandu Honda Prelude tersebut juga mendakwa ambulans tersebut tidak memasang bunyi siren menyebabkan dia tidak perasan kehadiran ambulans tersebut.

Sungguhpun begitu, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga boleh tampil membantu siasatan.

Menurut Alexson, ambulans terbabit semasa kejadian dalam perjalanan menuju ke Stadium Perpaduan Kuching untuk mengambil dan menghantar pesakit Covid-19 ke Kolej Sains Kesihatan Bersekutu.

Pemandu dan seorang penumpang Honda Prelude dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu dan pembantu ambulans mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak. — DayakDaily