Pemandu dan kelindan treler nyaris maut, kenderaan dinaiki terbakar

Kelihatan api sedang marak membakar bahagian kabin treler.

LUNDU, Julai 21: Seorang pemandu treler dan kelindan nyaris maut apabila kenderaan berat yang dinaiki mereka tiba-tiba terbakar dalam satu kejadian di Jambatan Batang Kayan di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.24 malam itu, pemandu dan kelindan treler berkenaan sempat keluar menyelamatkan diri mereka.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Annuar Mantali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.25 malam.


Jelasnya, sepasukan lima anggota bomba kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran telah memusnahkan keseluruhan kabin treler tersebut.

“Anggota bomba kemudian bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan sumber air dari jentera sehingga api padam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Annuar menambah, semasa kebakaran berlaku pemandu dan kelindan berjaya menyelamatkan diri.

Katanya, kejadian itu juga tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian,” katanya lagi.  — DayakDaily