Pemandu cemas, Perodua Alza musnah terbakar

Kelihatan sebuah Perodua Alza yang terbakar.
Advertisement

KUCHING, April 26: Seorang pemandu Perodua Alza cemas selepas kereta yang dipandu tiba-tiba terbakar di tempat letak kenderaan di E-Mart di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.03 petang itu turut mengakibatkan sebuah gerai menjual jagung terbakar.

Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Advertisement

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Nooruddin Ismail Talab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 3.05 petang.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Jelasnya, sepasukan 11 anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api masih membakar Perodua Alza itu sebelum mereka bertindak memadam api yang membakar kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Nooruddin, pemeriksaan selepas operasi memadam kebakaran mendapati tiada mangsa yang terlibat.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.17 petang.

“Selepas memastikan keadaan di lokasi kejadian terkawal, anggota bomba kemudian balik semula ke balai bomba,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement