Pertandingan tiga penjuru di Parlimen Puncak Borneo

Genot@Jeannoth Sinel

KUCHING, April 26: Kawasan Parlimen Puncak Borneo dijangka menyaksikan perebutan sengit dengan setidak-tidaknya melibatkan pertandingan tiga penjuru, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Ia apabila Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) hari ini telah mengesahkan calonnya untuk bertanding di konstituensi majoriti Bidayuh itu, iaitu Bego Sepop.

Maka, keputusan parti itu sekali gus memberikan cabaran kepada calon dari Pakatan Harapan (PH), Willie Mongin dan Barisan Nasional (BN), Genot@Jeannoth Sinel.


Willie Mongin

Malah, kemasukan Bego juga dijangka menjejaskan keselesaan Willie untuk bertarung satu lawan satu dengan Genot.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan calon BN pada April 25 lalu, dengan Jeannoth diletakkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Puncak Borneo bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri James Dawos Mamit.

Manakala pencalonan Willie diumumkan semalam oleh pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian dalam sidang media PH Sarawak di sebuah hotel di Kuching.

Ketiga-tiga calon tersebut juga merupakan anak tempatan Bidayuh di kawasan Puncak Borneo.

Willie, 43, berasal dari Kampung Bratan dan pernah bertanding dalam PRU13 menentang Dawos manakala Jeannoth, 53, dari Kampung Skuduk dan Bego, 54, dari Kampung Simboh.

Dari segi latar belakang, Willie merupakan jurutera teknologi maklumat (IT) sementara Genot seorang pegawai kerajaan dan Bego adalah seorang saintis. — DayakDaily