Oleh Dean Adam
SIBU, Mei 8: Bukan setakat menyelamat haiwan peliharaan seperti kucing yang biasa kita ketahui, namun semalam pasukan bomba melakukan kelainan apabila menyelamatkan seekor burung bangau yang tersangkut di atas pokok di Pasar 2, Dataran Sibu di sini.
Lebih menarik, burung bangau yang tersangkut tersebut mendapat perhatian orang awam yang kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.37 petang.
Katanya, sejurus itu sepasukan enam anggota bomba dari BBP Sibu bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi khas.
“Apabila tiba, komander operasi melaporkan terdapat seekor burung bangau terbelit pada tali layang-layang yang tersangkut atas pokok.
“Anggota bomba segera bertindak menggunakan tangga dari jentera untuk melepaskan burung bangau tersebut,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, pihak bomba hanya mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk melepaskan burung bangau berkenaan.
“Operasi khas itu tamat sepenuhnya apabila burung tersebut dilepaskan selepas diperiksa keadaannya oleh anggota bomba,” katanya. — DayakDaily