Abang Johari: Baitulmal Sarawak cemerlang dalam urusan kutipan zakat

Abang Johari (lima dari kanan) menyampaikan sumbangan RM36,138 untuk masjid dan surau di sekitar Kuching yang diterima Misnu.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 8: Tabung Baitulmal Sarawak telah mencapai kejayaan cemerlang dalam urusan kutipan zakat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata kejayaan itu hasil sistem pengurusan baik yang telah diamalkan badan Islam tersebut.


“Urusan kutipan zakat ini merupakan satu kejayaan buat kita di Sarawak.

“Susunan pengurusan Baitulmal yang begitu berkesan dan baik ini telah mendapat pengiktirafan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pengagihan Bubur MASJA-SA bersempena Bulan Ramadhan yang diadakan di Perkarangan Masjid Jamek Negeri di sini, semalam.

Dengan kejayaan itu, tambah Abang Johari yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak(LAKMNS), bangunan milik masyarakat Islam telah dibina di beberapa bahagian di negeri ini.

“Di Kuching kita telah berjaya membina satu lagi bangunan tambahan milik masyarakat Islam, termasuk di Sri Aman, Sibu dan Miri.

“Ini memantapkan kedudukan kewangan masyarakat Islam dan ini juga adalah nikmat perpaduan erat yang wujud di kalangan masyarakat kita,” katanya.

Abang Johari (empat dari kanan) bersama tetamu yang lain menyempurnakan acara ‘Menguar Bubur MASJA-SA’. Turut kelihatan Bujang Nor (lima dari kiri).

Majlis pengagihan bubur ini merupakan salah satu aktiviti kebajikan yang dijalankan LAKMNS di samping mendekatkan ahli lembaga dengan masyarakat Islam khususnya di sekitar bandar raya ini.

Objektif majlis ini diadakan adalah untuk menerangkan kepada orang awam tujuan sebenar pengagihan bubur MASJA-SA kepada penduduk tempatan di seluruh Kuching khasnya, di samping menarik minat masyarakat untuk mendekatkan diri dengan masjid.

Pada majlis itu, Abang Johari menyerahkan sumbangan derma ramadhan sejumlah RM116,300 kepada pelajar-pelajar sekolah yang kurang mampu dan anak-anak yatim sekitar Kuching.

Beliau juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM36,138 kepada beberapa masjid dan surau.

Pengagihan bubur MASJA-SA diadakan setiap hari di sepanjang bulan Ramadhan di Perkarangan Masjid Jamek Negeri Sarawak.

Turut hadir, Setiusaha Kehormat LAKMNS Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd Nor, Pengurus Besar LAKMNS Mohamad Sabry Othman dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha. ā€” DayakDaily