Pelihara bahasa suku kaum — DBP Sarawak

Abang Haliman (lima dari kanan) di Majlis Penutupan PDUBSS 2023.

KUCHING, 19 Mac: Pemeliharaan bahasa setiap suku kaum di Sarawak giat diusahakan supaya tidak dilupakan oleh generasi masa depan, kata Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Abang Haliman berkata, Bengkel Kerja Pangkalan Data Umum Bahasa Sukuan Sarawak (PDUBSS) 2023 dianjurkan bagi merakamkan semua bahasa sukuan di Sarawak untuk makluman dan pemahaman.

“Usaha merakamkan bahasa sukuan ini adalah supaya menjadi sebahagian pelengkap kepada bahasa kebangsaan,” jelasnya.


Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan PDUBSS 2023 di sini hari ini.

Tambah beliau, Sarawak bangga apabila perkataan jerayawara itu diterima dalam bahasa kebangsaan dan ini menunjukkan usaha dalam memelihara bahasa sukuan.

Katanya, beberapa perkataan bahasa sukuan telah dikumpulkan untuk terbitkan dalam satu kamus.

“Manakala yang lain akan diserahkan kepada pangkalan data sebagai bahan rujukan.” ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak 585 entri istilah yang merangkumi entri terdiri daripada permainan tradisional, adat perkahwinan dan idea berasosiasi telah dikumpul. — DayakDaily