KUCHING, 26 Feb: Pemeliharaan bahasa Bidayuh Biatah penting dalam mengekalkan budaya kaum Bidayuh di masa hadapan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Dr Jerip berkata, usaha mewujudkan dan mengekalkan Taska Sikura Piramin Bidayuh Biatah sehingga hari ini harus dipuji.
“Usaha ini amat bermakna dan kita harus meningkatkan pembangunan pendidikan anak Bidayuh,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Taska Sikura Piramin Bidayuh Biatah di Kampung Segu Bunuk di sini pada Sabtu.
Di majlis itu, Dr Jerip yang juga ADUN Mambong meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada pihak jawatankuasa Taska Sikura Piramin Bidayuh Biatah.
Ia adalah untuk membayar upah pendidik yang sebelum ini hanya menerima upah sebanyak RM900.
Taska Sikura Piramin Bidayuh Biatah memberi pendedahan kepada anak-anak kaum Bidayuh supaya menguasai bahasa Bidayuh Biatah.
Taska juga memberi bantuan kepada persediaan awal bagi memasuki alam persekolahan di peringkat sekolah rendah. — DayakDaily