KUCHING, 1 Feb: Pelantikan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri bersesuaian dengan kelayakannya.
Ketua Wanita PKR Sarawak Victoria Musa berkata, Nurul Izzah memiliki dua ijazah berkaitan kejuruteraan dan ijazah sarjana dalam bidang dasar awam.
“Ia merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial dari School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins di Washington,” kata Victoria dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Nurul Izzah juga merupakan seorang pemimpin yang peka dengan isu-isu yang membelenggu rakyat.
Katanya, beliau juga bijak dalam mengutarakan usul-usul dan cadangan yang mampu membawa memanfaat kepada negara dari segi pembanguan ekonomi, politik dan sosial di Dewan Rakyat sepanjang menyandang jawatan sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Permatang Pauh.
“Nurul Izzah juga turut pernah menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini,” kata Victoria. — DayakDaily