KOTA SAMARAHAN, Mei 3: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengingatkan seramai 16,200 pelajarnya supaya tidak membawa kegiatan berpolitik masuk ke dalam kampus universiti sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Naib Canselor Unimas, Professor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata demikian berikutan universiti tersebut mematuhi sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti Pindaan 2012 yang tidak membenarkan kegiatan itu dilakukan pelajar dalam kampus universiti.
“Akta Universiti dan Kolej Universiti Pindaan 2012 menetapkan pelajar tidak boleh berkempen atau tidak boleh melaksanakan aktiviti berpolitik dalam kampus. Di luar (kampus) boleh dan terpulang kepada mereka, tetapi dalam kampus kita tidak benarkan sama sekali,” katanya selepas menghadiri Majlis Syarahan Perdana Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) Bagi Pembangunan Mampan di Dewan Syarahan, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), Kampus Unimas, di sini, hari ini.
Syarahan mengenai STEM di majlis terbabit diberikan Professor Dr Andrew Ragai Henry Rigit dari Unimas dan dihadiri tetamu kehormat Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan, Dato Sri Michael Manyin Jawong.
Mohamad Kadim berkata setakat ini Unimas tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan pelajarnya berpolitik dalam kampus dan suasana kampus universiti itu ketika ini sama seperti negeri Sarawak yang rakyatnya lebih mahukan suasana kehidupan yang harmoni dan semangat muhibah.
“Setakat ini tiada masalah itu disini (Unimas), mungkin di tempat lain ada. Bagaimanapun kita memberi kebenaran bagi mereka (pelajar kampus Unimas) balik (ke tempat asal) bagi mengundi,” katanya.
Katanya walaupun Mei 9 depan cuti umum, pelajar kampus universiti terbabit boleh memohon cuti sehari lebih awal atau pada Mei 8 bagi mereka kembali ke tempat asal yang jauh dari universiti itu bagi mengundi.
Sementara itu, Mohamad Kadim juga mendedahkan yang Unimas akan mempunyai fakulti baru berkaitan STEM iaitu Fakulti Alam Bina yang akan menawarkan dua program pengajian iaitu Arkitek dan Ukur Bahan.
“Fakulti Alam Bina sebenarnya sudah bermula cuma kita belum umumkanya secara rasmi dan kemungkinan September depan akan membuat pengumuman terbabit,” katanya.
Beliau berkata program pengajian arkitek sudah mengambil pelajar manakala program pengajian ukur bahan akan mula mengambil pelajar September depan dengan kedua-dua program masing-masing hanya akan mengambil seramai 30 pelajar sahaja bagi pengambilan pertama kumpulan pelajarnya.
“Disebabkan program STEM ini banyak melibatkan makmal dan banyak kemahiran tangan, kita tidak boleh mengambil ramai pelajar. Ini berbeza dengan program bukan STEM dengan satu bilik kuliah boleh ada ramai pelajar kerana bilangan pelajar banyak bergantung dengan kemudahan pengajaran di kampus,” katanya.
Mohamad Kadim berkata setakat ini di Unimas keseluruhannya ada seramai 16,200 pelajar mengikuti program pengajian di 10 fakultinya dengan sekitar 40 peratus pelajar terbabit mengikuti program pengajian lima fakulti berkaitan STEM iaitu Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia dan Fakulti Teknologi Sumber. — DayakDaily