Pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh semasa lintas jalan

Kelihatan kenderaan yang dipercayai merempuh mangsa.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 16: Malang menimpa seorang remaja lelaki apabila dia menemui ajal selepas dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Bintulu-Miri di sini lewat petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu telah mengakibatkan mangsa berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pelajar Tingkatan Satu itu dikatakan sedang melintas jalan berkenaan.

Katanya, semasa melintas jalan tersebut, sebuah kenderaan jenis Ford Ranger tiba-tiba merempuh mangsa.

“Akibat rempuhan itu telah mengakibatkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah pada kepalanya.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, petugas perubatan yang berada di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. — DayakDaily