Pelajar temui ajal, kakak dan penunggang basikal cedera

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan basikal.
Advertisement

SARIKEI, April 16: Malang menimpa seorang pelajar lelaki apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangnya bersama kakaknya merempuh sebuah basikal di Jalan Pantai Belawai di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhd Ridzwan Kepeli, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian, mangsa dan kakaknya dikatakan dalam perjalanan ke SMK Belawai dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Advertisement

Tambahnya, kakak mangsa dan penunggang basikal berusia 54 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kelalaian penunggang basikal yang secara tiba-tiba membuat pusingan U tanpa memerhati kenderaan dari arah belakang.

“Kesan perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya lalu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ā€” DayakDaily

Advertisement