Pelajar maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas

Keadaan kemalangan yang melibatkan seorang pelajar lelaki.
Advertisement

MIRI, Jan 17: Seorang pelajar lelaki menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan kendiri di Jalan Ladang Tiga Niah di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Tatrician Darrell Mendan Deli, 17, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menetap di Taman Desa Senadin di sini dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Miri ke Bintulu.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggangnya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan mengakibatkan mangsa tercampak jatuh ke atas jalan raya.

“Impak jatuhan kuat itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan dan meninggal dunia di lokasi insiden.

“Orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa disyaki terbabas sendiri dan terjatuh atas jalan raya berdasarkan tiada kesan perlanggaran pada motosikal mangsa.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement