Pelajar Lubok Antu disaran sasar kecemerlangan dalam pendidikan ke tahap tinggi

Sebahagian daripada guru dan ibu bapa pada Majlis Ramah Mesra PIBG SK Sbangki.

KUCHING, 9 Nov: MP Lubok Antu, Jugah Muyang, ingin melihat pelajar dari Lubok Antu mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Katanya, kecemerlangan itu bukan sahaja dicapai di peringkat sekolah, malah di peringkat negeri ataupun kebangsaan.

“Jika kita mampu melahirkan pelajar cemerlang, ia dapat menyumbang kepada pembangunan tempat kelahiran mereka dan ini membawa keuntungan dalam jangka masa panjang,” katanya pada Majlis Ramah Mesra PIBG SK Sbangki di Dewan Dublin Unting Ingkot, di sini, semalam.


Justeru beliau mengingatkan ibu bapa agar sentiasa komited mengutamakan pendidikan kepada anak-anak kerana ilmu pengetahuan merupakan aset yang amat berguna.

Tegas beliau, hanya pendidikan sahaja mampu mengubah taraf hidup sama ada anak-anak itu sendiri mahupun keluarga mereka.

“Kerjasama dan sokongan dari semua ditagih dalam usaha membangunkan mutu pendidikan dan kemudahan pembangunan sekolah demi memberi keselesaan kepada proses pembelajaran,” katanya.

Pada majlis itu, Jugah turut memperuntukkan RM15,000 kepada PIBG SK Sbangki. — DayakDaily