Pelajar autisme Yasmin Hani jadikan Abang Johari idola

Abang Johari (dua kanan) mengambil swafoto bersama Yasmin Hani di Seminar Kesedaran Austisme di Kuching. Turut kelihatan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah (kanan). Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 30 Okt: Pelajar austisme Yasmin Hani Hazmi jadikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai idola.

Mengakui diri adalah peminat nombor satu Abang Johari, Yasmin Hani berkata minat tersebut bermula sejak beliau ‘berselfie’ bersama Abang Johari selepas solat Aidilfitri pada tahun 2017 lalu.


Katanya, minat yang mendalam tersebut hadir disebabkan Abang Johari ada isteri (Datin Juma’ani Tun Tuanku Bujang) yang menutup aurat.

“Minat tersebut menyebabkan beliau mencari carian dalam talian semua aspek berhubung Abang Johari.

“Ini termasuk latar belakang keluarga, sejarah persekolahan, perkembangan karier, keluarga dan aktiviti harian Abang Johari,” kata pengacara yang membaca luahan dan hasrat Yasmin Hani di Majlis Seminar Kesedaran Austisme di Kuching pada Sabtu lepas (28 Okt).

Terdahulu Yasmin Hani telah mewakili golongan austisme bagi membaca resolusi yang diserahkan kepada Abang Johari.

Dalam luahan itu, Yasmin Hani turut berkata bahawa dalam kebanyakan masa, beliau ada gambar Abang Johari di ‘wallpaper’, bahkan dicetak serta diletakkan dalam fail transparen untuk diletakkan di sebelah bantal.

Memandangkan pihak sekolah tidak membenarkan untuk membawa telefon bimbit, beliau membawa kertas saiz A4 yang ada gambar Abang Johari.

Gambar tersebut menemani beliau sepanjang masa di sekolah.

“Dan ini ada kaitan dengan keadaan beliau yang austisme yang menerangkan beliau perlu ditemani gambar Abang Johari,” kata pengacara majlis.

Selain itu, Yasmin Hani juga pernah ditanya kenapa suka tengok muka Abang Johari.

Jawaban beliau adalah kerana suka melihat Abang Johari senyum.

“Hani bercita cita untuk ‘berselfie’ dengan Abang Johari, termasuk berdoa agar dapat ‘berselfie’ dengan Abang Johari di syurga,” kata Yasmin Hani. — DayakDaily