MIRI, 11 Nov: Seorang pelajar meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori di Jalan Pujut Padang Kerbau, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 17, berasal dari Kampung Luak Bay.
Menurutnya, mangsa semasa kejadian menunggang sebuah motosikal dari arah persimpangan lampu isyarat simpang 4 Jalan Cahaya iaitu sekitar jam 7.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati sebuah lori yang datang dari arah Pujut Corner melalui Jalan Pujut Padang Kerbau dilanggar mangsa di bahagian tepi kiri belakang.
“Semasa kejadian, lori tersebut dikatakan membelok ke kanan di simpang Canada Hill View Avenue,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik di lokasi kejadian.
Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Miri untuk tindakan sleanjutnya,” kata Alexson. — DayakDaily