Pekerja pelantar minyak ditipu RM12,650 oleh ‘kekasih FB’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Feb 14: Akibat terpedaya dengan janji-janji manis kekasih Facebook (FB), seorang pekerja pelantar minyak kerugian RM12,650.

Kes tersebut melibatkan lelaki berusia 51 tahun dan dia telah membuat laporan polis semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang perempuan nama Christal Addison yang kononnya dari luar negara melalui FB.

Jelasnya, sepanjang perkenalan tersebut mangsa telah diberitahu oleh suspek pada bulan Disember bahawa suspek ingin datang ke Miri untuk bertemu dengan mangsa.

“Pada Disember 30 lepas, mangsa telah menerima panggilan daripada Hamisah Binti Musthafa (011-16146381) menyatakan Christal Addison telah ditahan di KLIA kerana telah membawa wang tunai yang banyak.

“Penama Hamisah Binti Musthafa kemudian telah meminta wang tunai sebanyak lebih kurang RM5,150 untuk kompaun dan mangsa telah memasukkan wang ke dalam akaun Maybank suspek pada Januari 16 lepas.

“Manakala, pada Januari 18 lalu, mangsa sekali lagi telah memasukkan wang tunai sebanyak lebih kurang RM5,000 ke dalam akaun sama,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, sehari selepas itu, mangsa telah mendeposit wang sebanyak RM2,500 kepada Hamisah Binti Musthafa kerana penama menyatakan visa Christal Addison telah tamat tempoh.

Katanya, mangsa mulai sedar dirinya telah ditipu setelah suspek berulang kali meminta duit atas alasan yang sama.

“Jumlah kerugian mangsa adalah sebanyak RM12,650 dan lelaki berkenaan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily