Pekerja ladang sawit tinggal sehelai sepinggang, rumah pekerja musnah terbakar

Kelihatan keadaan rumah pekerja yang musnah terbakar.
Advertisement

BETONG, Okt 7: Lebih 10 pekerja ladang kelapa sawit tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pekerja yang didiami mereka di Jalan Ridan di sini musnah terbakar lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, semua pekerja dan keluarga masing-masing sempat keluar menyelamatkan diri mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 6.31 petang.

Advertisement

Menurutnya, sejurus itu, sepasukan sembilan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar enam pintu rumah pekerja di situ.

“Operasi pemadaman kebakaran tersebut menggunakan sumber air dari jentera api terkawal sepenuhnya pada pukul 8.40 malam,” katanya di sini hari ini.

Vincent menambah, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

Katanya, api marak dengan cepat disebabkan struktur rumah pekerja tersebut diperbuat daripada bahan mudah terbakar.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi disiasat,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement