SARIKEI, Feb 2: Lapan pekerja ditahan, manakala enam lori bersama dua jentera disita menerusi operasi gempur aktiviti pemindahan dan pengorekan tanah secara haram di Sungai Emperan, Julau di sini hari ini.
Kesemua individu itu ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak pada pukul 11.13 pagi.
Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, ACP Salehuddin Mat Zaman berkata, operasi bersama strategi lautan biru kebangsaan (NBOS) itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan sebelum itu.
Katanya, ketika serbuan itu, para pekerja di situ kelihatan leka mengorek tanah sehingga tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Serbuan itu dilakukan oleh empat anggota PPM dari Zon Sarikei dan lima orang pegawai penguatkuasa JTS.
“Pemeriksaan mendapati pekerja di situ mengorek tanah tanpa permit sah dan menyalahi Kanun Jabatan Tanah dan Survei Sarawak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Salehuddin memberitahu, kesemua pekerja terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Laporan juga telah dibuat di Balai Polis Bintangor,” ujarnya lagi. — DayakDaily