Pekerja kilang temui ajal dalam nahas jalan raya

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

PADAWAN, Sept 9: Malang menimpa seorang pekerja kilang apabila dia menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Batu 18, Jalan Kuching-Serian, di sini awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi itu, mangsa, Maxtaisen Johny, 26, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Umum Sarawak di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Entingan, Kota Samarahan, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada pukul 2.45 pagi.

Advertisement

Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Serian ke Kuching.

“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum dia tercampak dari motosikalnya.

“Kesan kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepalanya dan anggota badannya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, orang awam yang kebetulan melalui laluan berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement