Pekerja kilang kayu hilang tempat tinggal, rumah didiami musnah terbakar

Kelihatan anggota bomba sedang memadam kebakaran sebuah rumah pekerja kilang kayu.

LIMBANG, Julai 16: Sekumpulan pekerja kilang kayu hilang tempat tinggal selepas sebuah rumah pekerja yang didiami mereka di Jalan Pandaruan di sini musnah terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu telah mengakibatkan rumah pekerja tersebut musnah terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.20 petang.


Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut, sepasukan lapan anggota bomba diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila sampai di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah pekerja tersebut.

“Anggota bomba kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan sumber air dari jentera, pili bomba dan sumber air terbuka di situ,” katanya hari ini.

Tawang menambah, semasa kejadian tiada penghuni di rumah tersebut dan insiden itu juga tidak melibatkan kecederaan mangsa.

Ujarnya, api marak dengan cepat disebabkan struktur rumah berkenaan diperbuat daripada bahan-bahan mudah terbakar.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kejadian,” ujarnya lagi. — DayakDaily