Pekerja kedai kopi tikam alat sulit wanita direman 7 hari

Kelihatan wanita yang cedera ditikam di bahagian alat sulitnya.

Oleh Dean Adam

SIBU, Mac 26: Seorang wanita yang disyaki menikam bahagian sulit seorang lagi wanita dipercayai ‘kekasih gelap’ suaminya dalam satu kejadian di sebuah bilik sewa di Jalan Lajong di sini Ahad lepas telah direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berusia 46 tahun yang juga seorang pekerja di kedai kopi direman mulai hari ini hingga April 1 depan.

“Suspek direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai keadaan mangsa yang berusia 34 tahun, Stanley memberitahu, wanita berkenaan kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sibu.

DayakDaily semalam melaporkan seorang wanita cedera di bahagian alat sulitnya selepas ditikam dengan pisau oleh seorang wanita lain dalam satu kejadian di sebuah bilik sewa di Jalan Lajong di sini.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu berlaku mengakibatkan wanita berusia 34 tahun tersebut mengalami pendarahan teruk.

Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa yang dikatakan teman wanita kepada suami suspek telah datang ke bilik sewa berkenaan.

Katanya, mangsa merupakan seorang pekerja pembersihan dikatakan menjalinkan hubungan dengan suami suspek yang berusia 28 tahun.

Pada mulanya, suspek yang berusia 46 tahun bersama suami serta mangsa dikatakan telah berbincang berhubung hubungan tiga segi itu.

Selepas itu, ketiga-tiga suspek dikatakan bersetuju melakukan hubungan seks bersama sebelum suspek pergi mengambil sebilah pisau lalu menikam bahagian sulit mangsa. — DayakDaily