Pekerja kapal tunda warga India dilaporkan hilang

Pasukan bomba sedang melakukan operasi SAR.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Okt 16: Seorang pekerja kapal tunda warga India dilaporkan hilang di Jeti Ekspres Lama Kuala Baram di sini pada Ahad lepas.

Bagaimanapun, laporan berhubung kehilangan mangsa yang berusia 25 tahun hanya dimaklumkan kepada pihak bomba hari ini.

Advertisement

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 11 pagi.

Jelasnya, sebaik menerima maklumat itu, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Berdasarkan laporan diterima, kali terakhir mangsa kelihatan ialah pada Ahad lepas kira-kira pukul 8 hingga 9 malam.

“Semasa itu, mangsa dikatakan bersama rakan-rakan sedang makan dan minum bersama di atas sebuah kapal tunda yang dimiliki oleh Syarikat Kuari Rakyat No. 8,” katanya di sini hari ini.

Tambah Law, kehilangan mangsa tidak disedari sehinggalah pada keesokan harinya iaitu pada Isnin lalu.

Katanya, usaha pihak kru kapal untuk mencari mangsa telah dilakukan, namun mangsa masih gagal dikesan.

“Setakat pukul 4 petang, mangsa masih gagal ditemui dan operasi SAR diteruskan lagi,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement