Guru wanita dan gadis rugi RM4,450 terpedaya sindiket ‘parcel scam’

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

MUKAH, Okt 16: Seorang guru wanita dan seorang gadis menjadi mangsa terbaharu sindiket ‘parcel scam’ atau penipuan kiriman bungkusan di negeri ini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kes penipuan melibatkan guru wanita berusia 51 tahun itu membabitkan kerugian sebanyak RM3,800.


Menurutnya, berdasarkan laporan polis yang diterima, mangsa telah menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai Muhd Ibrahim Mustapha.

“Suspek kemudian memberitahu mangsa ada bungkusan daripada United Kingdom akan dikirim kepada mangsa dengan menggunakan Loomise Express Courier Company Worldwide.

“Tetapi, bagi mendapatkan bungkusan tersebut mangsa perlu membayar wang kepada ejen untuk urusan penghantaran,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, tanpa menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian memasukkan duit sebanyak RM3,800 ke dalam akaun bank suspek.

Jelasnya, namun selepas bungkusan yang dijanjikan tidak wujud, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu katanya, kes kedua pula melibatkan remaja perempuan berusia 19 tahun yang kerugian sebanyak RM650.

Ujarnya, sebelum itu mangsa telah menerima pesanan ringkas daripada orang yang tidak di kenali melalui laman sosial Facebook dan menyuruh mangsa membuat bayaran sebanyak RM10,000 disebabkan ada bungkusan barang yang dikirimkan kepada mangsa yang telah ditahan oleh pihak Kastam.

“Mangsa kemudian membuat transaksi di Maybank Mukah sebanyak RM250 dan sekali lagi membuat tranksasi di bank sama sebanyak RM400 untuk mendapatkan bungkusan itu.

“Selepas diarahkan suspek untuk menambahkan bayaran sebanyak RM5,000 mangsa terus membuat laporan polis bagi siasatan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily