PUTRAJAYA, Jan 9: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong menyeru agar para pekebun kecil dan penoreh getah yang masih belum memohon Bantuan Musim Tengkujuh (BMT), untuk berbuat demikian selewat-lewatnya sebelum atau pada Jan 31, 2018.
Menurut satu kenyataan media semalam, bayaran ketiga BMT telah dibayar mulai pada Jan 1, 2018 di seluruh negara oleh LGM dan agensi-agensi berkaitan. Sehubungan itu, para pekebun kecil yang masih belum memohon BMT bolehlah berbuat demikian melalui kaedah-kaedah seperti berikut:
(i) memohon secara on-line dengan capaian kepada Sistem BMT di LGM iaitu http://bmt.lgm.gov.my/Home/Application; atau
(ii) memohon melalui aplikasi mobil LGM BMT yang dimuat naik daripada Google Play Store; atau
(iii) menghantar borang BMT di mana-mana Pejabat LGM Wilayah/Negeri.
Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2017 telah mengumumkan BMT sebanyak RM200 sebulan pada November dan Disember 2017 serta Januari 2018 yang memanfaatkan seramai 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.
Objektif pemberian bantuan ini adalah bagi memastikan kebajikan para pekebun kecil dan penoreh getah terpelihara sewaktu musim tengkujuh. Peruntukan yang telah disediakan bagi tujuan tersebut adalah sebanyak RM261 juta.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi-agensi berkaitan iaitu RISDA, FELDA, FELCRA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) telah mendaftarkan pekebun kecil dan penoreh getah dalam tempoh yang ditetapkan.
Permohonan BMT telah dibuka mulai Sept 1, 2017 sehingga Jan 31, 2018. Proses pembayaran BMT pertama telah dilaksanakan mulai pada Nov 1, 2017 dan seramai 275,605 orang pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bantuan tersebut. Manakala proses pembayaran BMT kedua telah dilaksanakan mulai pada Dis 1, 2017 dan sehingga Dis 29, 2017, seramai 283,258 orang pekebun kecil dan penoreh getah telah menerima bayaran BMT.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta LGM sentiasa memastikan pelaksanaan pemberian BMT berjalan lancar dan disampaikan kepada kumpulan sasar yang ditetapkan. — Bernama