Oleh Dean Adam
KUCHING, Jan 14: Seorang pejalan kaki menemui ajal selepas dirempuh sebuah lori semasa sedang melintas jalan di Jalan Sultan Tengah di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu mengakibatkan mangsa, Awang Kadri Awang Kadir, 38, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada kepalanya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori yang membawa muatan ais datang dari arah Santubong ke Kuching telah melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintas dari kiri ke kanan jalan bersebelahan perhentian bas.
Katanya, impak perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah pada kepalanya.
“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kemalangan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat,” ujarnya di sini hari ini.
Alexson menambah, pemandu lori yang berusia 31 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily