Pejalan kaki maut, dilanggar semasa dipercayai melintas jalan

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

SERIAN, 28 Okt: Seorang pejalan kaki maut dalam kemalangan di kilometer 92 Jalan Kuching-Sri Aman semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata mangsa iaitu seorang lelaki berusia 65 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Katanya, mangsa dilanggar sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux ketika melintas jalan iaitu sekitar jam 8.38 malam.


“Kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux yang bergerak lurus dari arah Sri Aman menuju ke Serian telah terlanggar mangsa yang ketika itu berjalan kaki di tengah jalan.

“Pemandu kenderaan tidak nampak mangsa disebabkan keadaan di lokasi kemalangan gelap dan tiada lampu jalan serta keadaan cuaca pada masa itu hujan renyai-renyai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa pegawai perubatan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily