Pegawai veterinar maut dirempuh motosikal

Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan.

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 17: Seorang pegawai veterinar maut selepas dirempuh motosikal semasa melintas jalan di Jalan Kulas berhampiran RHB Bank Satok di sini semalam.

Mangsa, Mohammad Hatta Mohamad, 47, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.11 malam semasa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum itu mangsa dikatakan telah dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 22 tahun pada pukul 1.20 petang.

Menurutnya, impak rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami kecederaan.

“Penunggang motosikal tersebut juga terjatuh dan turut mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, penunggang motosikal tersebut kini masih menerima rawatan di ‘yellow zone’ dan berada dalam keadaan tidak sedar.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily