This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 28 Jun: Seorang pegawai polis dan dua anggota polis antara 152 individu ditahan kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Padungan, di sini, Ahad lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata ketiga-tiga mereka yang berusia antara 45 hingga 49 tahun disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurutnya, saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Mereka yang positif dadah ini berusia antara 19 hingga 54 tahun dan disiasat di bawah seksyen sama.
“Turut ditangkap kerana disahkan positif dadah ialah seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP dan dua anggota berpangkat sarjan dan koperal,” katanya semasa sidang media di IPK Sarawak hari ini.
Dalam serbuan tersebut juga seramai lima lelaki, dua wanita iaitu seorang warga tempatan dan seorang warga asing berusia antara 26 hingga 42 tahun ditangkap di bawah Seksyen 39B ADB 1952.
“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas mereka menjumpai 12 paket jus berisi serbuk campuran disyaki dadah,” katanya
Tambahnya, turut ditangkap adalah seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai pembekal dadah di pusat hiburan tersebut.
“Sebanyak 45 paket jus berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi, 63 biji pil disyaki ekstasi, dan ketulan jernih disyaki dadah jenis ketamin dirampas daripadanya,” katanya.
Keseluruhan dadah yang dirampas dalam operasi tersebut bernilai RM197,458 dan polis turut menyita harta yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
Harta yang disita termasuklah empat buah kenderaan jenis Land Rover, Lexus, BMW X5 dan Toyota Camry, barang kemas termasuk lima cincin emas, satu gelang tangan emas, seutas rantai emas dan sepasang subang emas.
Selain itu tiga beg tangan berjenama, lima utas jam tangan iaitu satu jenama Rolex, tiga Apple dan satu Huawei termasuk wang tunai RM30,650 dan Dolar Singapura. — DayakDaily