Pegangan prinsip ‘Sun Tzu – Art of War’, rahsia politik Mawan

Tan Sri William Mawan Ikom
Advertisement

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 20 Julai: Prinsip ‘Sun Tzu – Art of War’ adalah pegangan Tan Sri William Mawan untuk bertahan dalam politik dan menangani cabaran pilhan raya selama ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan tersebut, prinsip Sun Tzu – Art of War, iaitu “Ketahui diri anda, kenali musuh anda. Seribu perang, seribu kemenangan”, adalah kegemaran dan rahsia ketahanan beliau di bidang politik.

Advertisement

Justeru itu, beliau berkata Gabungan Parti Sarawak (GPD) dan komponen-komponen parti tersebut yang terdiri daripada PBB, SUPP, PRS and PDP mesti membuat persediaan yang jitu untuk memastikan GPS mampu menangkis pihak lawan.

“Kita semakin menghampiri pertempuran dan kita tidak akan mengambil mudah. Kita harus membuat persediaaan yang menyeluruh untuk memenangi Pakan bagi GPS.

“GPS adalah keutamaan dan PBB Pakan akan berusaha untuk meningkatkan dan menarik lebih ramai ahli baru untuk menyertainya,” kata Mawan, di sini, hari ini.

Menurit beliau, setakat ini PBB telah mendaftarkan lebih dari 1,700 ahli baru dan bersama ahli yang berdaftar, Pakan mempunyai kira-kira 3,000 ahli PBB yang kukuh.

Jumlah pengundi berdaftar untuk Pakan berdasarkan pilihan raya negeri 2016 ialah seramai 10,322, jelas beliau.

Mawan yang telah menyertai PBB tahun lepas, berkata PBB akan menjemput Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang juga pengerusi GPS dan presiden PBB, untuk melancarkan program penerimaan ahli-ahli baru PBB dalam beberapa bulan yang akan datang.

“Kemenangan kerusi GPS adalah antara hidup dan mati. Peningkatan dalam keanggotaan PBB untuk Pakan pada masa akan datang akan menjadi petunjuk yang baik bahawa PBB diterima baik oleh pengundi.

“Justeru itu, kita seharusnya tidak mengambil mudah walaupun semua telah tersedia. Keutamaan adalah untuk terus bekerja di peringkat akar umbi. Apa yang dimahukan oleh rakyat adalah keutamaan dan kita adalah suara untuk mereka,” jelas Mawan.

Sementara itu, beliau menyifatkan ‘kaji selidik’ yang mendakwa Pakan diantara sebuah daerah yang termiskin di Malaysia sebagai berunsur politik.

“Pembangkang akan terus berusaha untuk menyingkirkan ADUN GPS dan akan membuat pelbagai tuduhan begi meraih sokongan dalam Pilihan Raya Negeri ke-12.

“Biarkan mereka. Yang penting, kita menggandakan usaha untuk memastikan GPS mendapat sokongan dari akar umbi. Saya adalah wakil rakyat untuk Pakan dan akan terus bekerja keras sehingga diberitahu untuk berhenti,” kata beliau. — DayakDaily

Advertisement