PDRM: Lelaki maut, terkena tembakan semasa memburu di Kampung Sungai Beradek

ACP Ahsmon Bajah

KUCHING, 28 April: Seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan semasa memburu bersama rakannya di kawasan kebun sawit di Kampung Sungai Beradek semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata mangsa,44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan tembakan di dada.

Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 11.48 pagi.


“Sehubungan itu, tangkapan telah dibuat ke atas suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dan satu laras senapang patah turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk melengkapkan siasatan,” katanya. — DayakDaily