KUCHING, 29 Nov: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk meneliti semula hasratnya untuk mengurangkan jumlah peratusan pegawai dan anggota kalangan anak Sarawak yang berkhidmat di negeri ini ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pelbagai pekara perlu diperincikan, termasuk rasional di sebalik tindakan tersebut kerana dikhuatiri akan menimbulkan keresahan dalam kalangan pegawai dan anggota terbabit serta keluarga mereka.
“Ia turut mewujudkan banyak tanda tanya kepada masyarakat sendiri kerana rekod menunjukkan tidak timbul sebarang masalah atau isu membabitkan pasukan keselamatan itu di Sarawak sebelum ini.
“Bukan berniat mahu mencampuri hal ehwal pentadbiran PDRM atau Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun perjelasan mengenainya adalah perlu bagi mengelak persepsi atau sentimen tertentu dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Sebagai wakil rakyat yang mewakili suara Sarawak, perkara ini perlu dibangkitkan untuk diambil perhatian sewajarnya oleh pengurusan tertinggi PDRM di Bukit Aman,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.
Pada 20 Nov lalu, Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Ramli Din, dalam satu kenyataan, memaklumkan lebih 70 peratus pegawai dan anggota polis yang berkhidmat di Kontinjen Sarawak ketika ini adalah dari kalangan anak Sarawak.
Jumlah tersebut melebihi sasaran 40 peratus keanggotaan dalam kalangan anak jati negeri yang ditetapkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak, dengan langkah pengurangannya perlu dilaksanakan secara berperingkat.
Pengurangan tersebut mempunyai hubung kait dengan isu penggiliran tugas, penempatan di jawatan sensitif dan memberi peluang kepada pegawai serta anggota yang telah lama berkhidmat di tempat lain untuk kembali ke negeri asal.
Bagaimanapun, Nanta berkata, proses itu yang melibatkan pengurangan sehingga 30 peratus menimbulkan keresahan kerana ia merupakan satu peratusan yang agak besar dan semestinya membabitkan keanggotaan pelbagai pangkat dalam organisasi itu.
“Tiada halangan jika ia membabitkan pegawai kanan yang berpotensi membuka peluang kenaikan pangkat mereka, sama ada dipindahkan bertugas ke Bukit Aman, negeri atau daerah lain di luar Sarawak.
“Begitu juga pegawai dan anggota muda yang bertujuan untuk memberi peluang menimba pengalaman penugasan yang boleh menyumbang kepada pengembangan karier kepolisan mereka,” katanya.
Namun begitu katanya, keresahan timbul sekiranya tindakkan tersebut membabitkan pegawai serta anggota yang menghampiri usia berpencen dan sudah membuat persediaan sewajarnya untuk menempuh alam persaraan.
“Atau, mereka yang sudah berkeluarga, di mana ini mungkin menimbulkan pelbagai kerumitan kerana terpaksa berjauhan dari keluarga masing-masing dan ini tentunya mewujudkan tekanan yang tidak sepatutnya ke atas pegawai dan anggota terbabit, khususnya keluarga mereka,” katanya.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit turut menyatakan kebimbangan jika pegawai dan anggota terbabit dikenakan tindakan tertentu, termasuk peluang kenaikan pangkat disekat seandainya gagal mematuhi arahan perpindahan yang dikeluarkan.
“Tentunya terdapat mekanisme lain yang lebih bersesuaian untuk proses kenaikan pangkat pegawai dan anggota terbabit, seterusnya kekal menabur bakti di negeri sendiri.
“Keprihatinan kepemimpinan tertinggi PDRM, khususnya Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador amat dialu-alukan bagi memperhalusi perkara ini sekali gus mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya. — DayakDaily