PBDS kutuk sekerasnya tindakan MBM di Tamu Lutong

Kelihatan anggota penguatkuasa MBM merampas barangan jualan di Pasar Tamu Lutong dalam 'screenshot' yang the diambil dari video yang tular itu.
Advertisement

KUCHING, 26 Julai: Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) mengutuk sekerasnya tindakan Majlis Bandaraya Miri(MBM) merampas barangan jualan dan peralatan milik peniaga kecil di Pasar Tamu Lutong pada pagi semalam.

Presidennya Bobby William berkata, tindakan pihak penguatkuasa MBM pada kejadian yang videonya turut tular di media sosial adalah tidak beretika.

Katanya, MBM sepatutnya menggunakan pendekatan yang sesuai di dalam menangani perkara tersebut dan tidak dengan sewenang-wenangnya merampas barangan jualan.

Advertisement

“Saya tidak mengatakan para peniaga ini betul, mungkin ada kesalahan tetapi mereka tidak berniaga di Pasar Tamu Lutong setiap hari.

“Peniaga hanya berniaga di tamu berkenaan pada hari Ahad sahaja. Tindakan penguatkuasa MBM merampas barangan jualan adalah satu kesilapan besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bobby lagi, pihak penguatkuasa seharusnya dari awal telah mengawal kawasan tersebut dan menghalang para peniaga daripada berniaga.

Katanya, para peniaga pun boleh berfikir dan tidak akan berniaga di tamu tersebut jika ianya dikawal seperti di sebuah tamu berhampiran Balai Polis Lutong.

Dalam pada itu, Bobby berkata laporan polis berkaitan jumlah kerugian (barangan jualan dan peralatan) telah dibuat oleh para peniaga semalam.

“Kejadian semalam bukanlah yang pertama, malah para peniaga Dayak di kawasan tersebut sering diganggu oleh pihak penguatkuasa.

“MBM harus bertindak adil kepada peniaga-peniaga kecil ini, jangan ada polisi yang menyebelahi mana mana pihak,” tegas Bobby. — DayakDaily

Advertisement