PBDS gesa kerajaan jangan pandang ringan terhadap kenyataan berunsur hasutan

Bobby William

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 29 Mac: Kenyataan berunsur hasutan dan peningkatan pelampau agama tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia, menurut PBDS.

“Kita sebagai warga bukan Islam tertanya kenapa sehingga kini tiada tindakan diambil ke atas pemilik akaun media sosial Wan Asshima walaupun beliau memberi ugutan untuk memusnahkan tempat ibadat orang Kristian,” jelas presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Bobby William dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, dianggarkan lebih 100 laporan polis telah dibuat ke atas Wan Asshima namun tindakan seolah-olah senyap dan tiada lagi perkembangan mengenainya.

“Jika tiada tindakan dilakukan, kita risau ideologi beliau boleh melahirkan lebih banyak lagi pelampau dan bertindak berani sepertimana yang berlaku ke atas sebuah gereja di Makassar semalam,” katanya, sambil menambah tidak mustahil serangan tersebut boleh berlaku di negara ini jika semua pihak masih berdiam diri.


Pada sambutan Palm Sunday semalam, Gereja Katedral Makassar di Sulawesi Selatan digemparkan dengan serangan berani mati yang didakwa dilakukan oleh pihak IS.

Empat belas orang telah cedera dalam serangan itu semalam.

“Kita risau tindakan tersebut mungkin terjadi di negara kita jika tiada tindakan tegas terhadap pelampau dan ektremis agama,” ujar Bobby. — DayakDaily