PBB tidak tunduk kepada sentimen kebencian oleh pembangkang, kata Nanta

Nanta (kiri) dan Abang Johari (tengah) bersama pemimpin dan ahli PBB yang lain pada lafas ikrar PBB di konvensyen tersebut.

Oleh Chris Bishop

SIBU, 3 Okt: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan sesekali tunduk dengan permainan pihak pembangkang yang bertindak mengapi-apikan sentimen kebencian terhadap PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Agung PBB Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pembangkang sengaja mengada-adakan isu untuk menutup segala kebaikan yang telah dibawa oleh parti PBB dan GPS kepada Sarawak dan rakyatnya.

“Sesungguhnya, kita memahami tindakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah cubaan pihak lawan untuk merendahkan kita tetapi mereka harus sedar, kita tidak akan sesekali tunduk dan akur dengan permainan mereka,” katanya.

Nanta berkata demikian pada Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Tengah yang telah dirasmikan Ketua Menteri yang juga Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel di sini, hari ini.


Tambah Nanta, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, jambatan, klinik-klinik dan lain-lain telah membawa banyak manfaat kepada rakyat di Sarawak.

Katanya, inilah hasil perjuangan PBB dan GPS demi rakyat dan negeri Sarawak di mana pembangunan menyeluruh telah dapat direalisasikan.

“Tetapi usaha dan kerja keras kita belum terhenti di sini, masih banyak yang perlu kita lakukan demi rakyat dan Sarawak.

“Kerana itulah, saya menyeru semua ahli agar bersiap sedia untuk turun ke medan perang bagi memastikan PBB dan GPS dapat terus diberikan mandat bagi menerajui negeri ini, supaya pembangunan dapat diteruskan.

“PBB dan GPS fokus untuk mempertingkatkan usaha membantu rakyat dan negeri Sarawak,” ujar Nanta yang juga MP Kapit.

Dengan tema ‘Hak Sarawak Diutamakan, Pembangunan Diperkasakan’, konvensyen jelas Nanta merupakan acara penting untuk merapatkan barisan ahli-ahli parti PBB dan juga GPS bagi menghadapi Pilihan Raya Ke-12 yang akan diadakan bila-bila masa sahaja dari sekarang. -DayakDaily