PBB tetap kekal bersama GPS , kata Fadillah

Fadillah Yusof

KUCHING, 29 Sept: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak bercadang meninggalkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kembali bersama Barisan Nasional (BN), menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata parti-parti komponen dalam GPS bagaimanapun akan terus menjalinkan kerjasama rapat dengan BN dan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) dalam membangunkan Sarawak.

“Itu kena tanya Ketua Menteri (Sarawak).Tapi rasanya setakat ini tidaklah…rasanya kita akan kekal di bawah GPS tapi kita akan bekerjasama erat dengan semua pihak.” katanya ketika menjawab soalan pemberita.


Terdahulu Fadillah melancarkan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021-2025 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di Kuala Lumpur, hari ini.

Menjawab soalan lain berhubung sama ada PRN Sarawak akan diadakan serentak dengan pilihan raya umum, beliau berkata pertanyaan itu harus ditujukan kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak.

Dalam pada itu Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, GPS mengamalkan pendekatan mesra Kerajaan Persekutuan dan bekerjasama erat dengan Pusat sejak gabungan itu ditubuhkan dan PBB keluar dari BN.

“Sekarang ini pun kita bekerjasama erat dengan Perikatan Nasional dan Perikatan Nasional adalah gabungan dari Ahli-Ahli Parlimen Bersatu, PAS, Umno dan juga komponen-komponen BN yang lain.

“Bagi PBB apa yang penting ialah kita hendak fokuskan kepada usaha membangunkan negeri Sarawak serta mengembalikan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ini keutamaan PBB,” katanya.

Mengulas berhubung konvensyen khas PBB dengan PRN Sarawak, Fadillah berkata ia telah lama dirancang, tetapi disebabkan penularan Covid-19 ianya terpaksa ditangguhkan.

Katanya, disebabkan Covid-19 juga konvensyen berkenaan digabungkan kepada empat zon iaitu Zon Utara, Zon Sibu, Zon Betong dan Zon Kuching. — DayakDaily