PBB Pantai Damai gerakan usaha daftar belia dan beliawanis

Dr Abdul Rahman merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PBB Cawangan Pantai Damai bagi Sesi 2022-2025.

KUCHING, 20 Mac: Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Cawangan Pantai Damai telah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mendaftar belia dan beliawanis berusia 18 tahun hingga 28 tahun sebagai ahli parti.

Naib Presiden PBB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia selaras dengan pemgumuman bahawa PBB akan menubuhkan sayap belia tahun ini.

“Secara tidak rasmi kita telah pun memulakan gerakan untuk mendaftar apabila diumumkan oleh Premier Sarawak atau Presiden PBB dalam mesyuarat majlis tertinggi parti dalam dua bulan lepas.


“Jadi untuk kawasan Pantai Damai, kita telah menubuhkan jawatankuasa penggerak daripada wakil wanita dan pemuda untuk mendaftarkan belia dan beliawanis berusia 18 tahun hingga 28 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis Mesyuarat Agung Perwakilan PBB Cawangan Pantai Damai bagi Sesi 2022-2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Pada 9 Januari lalu, Presiden PBB yang juga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan PBB akan meminda perlembagaan parti bagi mewujudkan sayap baharu untuk golongan belia berumur 18 hingga 28 tahun.

Tambah Dr Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, usaha mendaftar golongan belia berusia antara 18 hingga 28 tahun adalah sangat penting.

Katanya, ia bagi memastikan pengundi dalam lingkungan umur berkenaan sentiasa memberi sokongan padu kepada PBB termasuk calon-calon parti apabila berlangsungnya pilihan raya akan datang.

“Kalau kita lihat penglibatan anak-anak muda dalam arena aktiviti kemasyarakatan begitu hebat terutama dalam ledakan teknologi hari ini.

“Ini merupakan antara aktiviti pertama yang akan kita langsungkan di semua peringkat cawangan dan ranting dalam tempoh dua tiga bulan yang akan datang,” katanya. — DayakDaily