PBB DUN Balai Ringin beri sokongan penuh kepada Snowdan

Snowdan (empat dari kiri) merakamkan kenangan bersama pemimpin akar umbi PBB ranting Balai Ringin di pejabat beliau. Turut kelihatan Harisson (tiga dari kiri)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 30 SEPTEMBER: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB)di DUN Balai Ringin menyokong penuh Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan sebagai calon DUN Balai Ringin pada Pilihan Raya Negeri(PRN) yang bakal tiba.

Perkara tersebut diumumkan pengerusinya Kaunselor Harrison Lunsa pada lawatan ke pejabat Snowdan di Wisma Baitulmakmur di Petra Jaya hari ini.

Turut serta pada lawatan tersebut adalah 19 ketua kaum dan ketua masyarakat dari PBB Balai Ringin termasuk Pemanca Peter Muni dan Kaunselor Briten Usop.

“Kita di dalam satu gabungan besar yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak(GPS).

“GPS yang dibentuk oleh PBB, Parti Rakyat Sarawak(PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak(SUPP) dan Parti Progresif Demokratik(PDP) bergerak bersama di dalam satu perahu.

“PBB Balai Ringin memberi sokongan penuh kepada Snowdan untuk sekali lagi mempertahankan DUN Balai Ringin pada PRN nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Snowdan yang merupakan wakil rakyat PRS menerima baik sokongan tidak berbelah bagi yang dijanjikan Harisson dan pemimpin-pemimpin akar umbi dari PBB Balai Ringin.

Katanya, kerjasama dari semua empat parti akan menentukan kejayaan besar buat GPS di DUN Balai Ringin nanti.

“Kita akan bergerak bersama di dalam GPS. Jentera pilihanraya akan diwakili oleh semua ahli-ahli dari 4 parti, tiada yang tertinggal,” katanya.

Jelas Snowdan perkara penting pada masa sekarang ialah untuk mempromosi lambang GPS kepada penduduk rumah panjang dan kampung.

“Inilah kali pertama kita bertanding menggunakan lambang baru, lambang GPS.

“Maka adalah penting untuk penduduk-penduduk mengenali lambang GPS ini,” ujar beliau.

Pada lawatan tersebut, rombongan turut berbincang mengenai program-program pembangunan, aktiviti rakyat dan permasalahan yang perlu penyelesaian segera di Balai Ringin.-DayakDaily.