Patuhi garis panduan, sambutan Aidilfitri 3 hari sahaja

Dr Abdul Rahman(dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 8 Mei: Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi mengingatkan umat Islam untuk mematuhi garis panduan terkini perayaan Aidilfitri yang hanya membenarkan sambutan selama tiga hari, 1 hingga 3 Syawal sahaja.

“Untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kita diberi kebenaran untuk meraikan sambutan hanya bersama-sama dengan ahli keluarga sahaja.

“Tidak dibenarkan mengadakan rumah terbuka dan untuk perayaan hari raya tahun ini, setakat ini kebenaran telah dikeluarkan untuk 3 hari sahaja iaitu 1 hingga 3 Syawal.


“Sambutan secara berkumpulan tidak dibenarkan. Ini adalah beberapa perubahan dikeluarkan oleh pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak(JPBNS) setakat ini,’katanya pada satu sidang media hari ini.

Terdahulu beliau telah merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Aidilfitri anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Cawangan Sarawak di Masjid Darul Solihin Kampung Telaga Air di sini.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti memaklumkan garis panduan terkini yang dikeluarkan JPBNS juga tidak membenarkan aktiviti perkumpulan yang melebihi 5 orang di satu satu tempat.

Katanya, paling penting ialah kita menjaga kesihatan diri, ahli keluarga dan masyarakat.

“Sentiasa ikut perkembangan arahan semasa kerana pandemik ini belum ada tanda-tanda penghujungnya.

“Kita harus menyesuaikan diri dengan keadaan, patuhi semua SOP agar dapat membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19,’ujar beliau yang juga Adun Pantai Damai.

Di majlis itu, 50 keluarga terpilih daripada lima kampung iaitu Kampung Temedak, Kampung Telaga Air, Kampung Sibu Laut, Kampung Sungai Aur dan Kampung Temenggong telah menerima bantuan.

Bantuan adalah berupa barang dapur, bekalan makanan asas dan wang tunai. — DayakDaily