Pasukan tentera patahkan cubaan seludup keluar 300 ekor burung murai bernilai RM248,000

Kelihatan sangkar dan burung murai yang dirampas.

Oleh Dean Adam

TEBEDU, Jan 16: Cubaan tiga lelaki untuk menyeludup keluar 310 ekor burung murai ke negara jiran berjaya digagalkan oleh pasukan tentera di kawasan laluan tikus menerusi Ops Serkap di sempadan Malaysia-Indonesia di sini hari ini.

Sel Perhubungan Raya 1 Divisyen dalam satu kenyataan media hari ini berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan dikesan di kawasan sempadan dengan membawa sangkar-sangkar burung kira-kira pukul 4 pagi.


Kata kenyataan sama, anggota tentera seterusnya mengarahkan ketiga-tiga lelaki tersebut untuk berhenti bagi membuat pemeriksaan terhadap barangan yang dibawa.

“Namun, sebaik menyedari kehadiran pasukan tentera ketiga-tiga lelaki tersebut bertindak melarikan diri di dalam kawasan hutan dan meninggalkan barangan yang dibawa.

“Hasil pemeriksaan pada barangan yang ditinggalkan mendapati sebanyak 13 sangkar burung yang mengandungi 310 ekor burung murai dipercayai untuk diseludup keluar,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan sama menambah, nilai rampasan kesemua burung dan sangkar itu dianggarkan bernilai RM248,000.

“Barang rampasan seterusnya dibawa ke Balai Polis Tebedu dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan susulan,” kata kenyataan sama. — DayakDaily