Pasukan tentera gagalkan cubaan seludup keluar motosikal curi

Anggota tentera menahan dua suspek yang mencuri dua buah motosikal.
Advertisement

BAU, Mei 3: Cubaan dua lelaki warga Indonesia untuk menyeludup keluar dua motosikal curi berjaya dipatahkan oleh anggota tentera dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu DiRaja (13 RAMD) di Kampung Serikin, semalam.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 23 dan 24 tahun tersebut ditahan pada pukul 9.40 pagi.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, kedua-dua lelaki itu berjaya dicekup oleh lima anggota tentera yang sedang melakukan Op Serkap di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

Advertisement

Katanya, sebelum itu, curiga melihat pergerakan kedua-dua suspek yang menaiki dua buah motosikal yang sedang memasuki kawasan sempadan, anggota tentera kemudian bertindak menahan mereka.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua buah motosikal Yamaha Lagenda dan Yamaha 125z yang dinaiki suspek merupakan motosikal curi.

“Anggota tentera turut menemui pelbagai peralatan untuk mencuri motosikal sebelum menahan mereka bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jurucakap sama menambah, sejumlah wang sebanyak 80,000 Rupiah Indonesia juga dirampas dan diserahkan kepada Balai Polis Daerah Bau untuk tindakan selanjutnya.

“Kesemua rampasan terbabit dianggarkan kira-kira sebanyak RM17,000,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement