Bina jambatan konkrit baru untuk Kpg Tellian Daya jika diberi mandat — calon PKR Mukah

Abdul Jalil (kiri) meninjau jambatan kayu di Kampung Tellian Daya, Mukah.

MUKAH, Mei 3: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Parlimen Mukah, Abdul Jalil Bujang membayangkan penduduk di Kampung Tellian Daya akan mendapat jambatan konkrit baru sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat untuk memerintah kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Abdul Jalil berkata, masalah yang dihadapi penduduk kampung tersebut sejak sekian lama akan diberi perhatian jika Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan.

“Jika itu adalah harapan penduduk di kampung di sini, maka memang wajarlah jambatan konkrit baru perlu dibina bagi keselesaan dan keselamatan mereka.


“Namun, perkara ini hanya akan direalisasikan jika Pakatan Harapan berjaya menakluki Putrajaya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Abdul Jalil menambah, sekiranya ingin perubahan, masyarakat setempat di Mukah perlu berani membuat keputusan dengan memilih Pakatan Harapan.

Katanya, tanpa adanya sokongan dan undi, maka adalah sukar untuk pakatan pembangkang melakukan pembaharuan.

“Ayuh, sama-sama kita turun mengundi pada Mei 9 depan,” ujarnya lagi.

Difahamkan jambatan kayu lama itu sepanjang kira-kira 30 meter dan memiliki lebar kira-kira 2 meter.

Pada PRU14, Abdul Jalil akan berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hanifah Taib. — DayakDaily