Pasukan tentera 10 RRD berkas tujuh lelaki warga Indonesia

Kelihatan tujuh lelaki warga Indonesia yang diberkas tentera.

Oleh Dean Adam

TEBEDU, Okt 25: Pasukan tentera dari Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) berjaya menahan tujuh lelaki warga Indonesia yang dipercayai cuba memasuki negara ini secara haram, semalam.

Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 38 tahun.


Jurucakap Sel Perhubungan Raya 1 Divisyen berkata, ketujuh-tujuh suspek diberkas di kawasan laluan tikus kira-kira 500 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia di sini.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati enam daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan dan perjalanan yang sah.

“Manakala seorang lagi mempunyai dokumen yang sah dan disyaki sebagai ejen untuk membawa kumpulan tersebut masuk ke sini melalui lorong tikus,” katanya di sini semalam.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan tentera seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Tebedu untuk tindakan selanjutnya.

“Kesemua tahanan kemudian diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily