Pasukan tarian singa dari Johor menawan hadiah utama di arena Plaza Merdeka

Pasukan juara, tempat kedua dan ketiga dalam kategori tiang tinggi pada Pertandingan Tarian Singa Antarabangsa Plaza Merdeka Ke-4.

KUCHING, Jan 7: Pertandingan Tarian Singa Antarabangsa Plaza Merdeka Ke-4 menyaksikan pasukan Pertubuhan Tarian Naga dan Singa Wen Ching Kelapa Sawait Johor Malaysia (A) telah menjadi juara kategori utama pertandingan itu di Plaza Merdeka, di sini, semalam.

Pasukan terbabit mengalahkan 13 pasukan lain bagi kategori tiang tinggi dan menerima hadiah RM5,000 dengan tempat kedua dimenangi pasukan Singapore Teng Yong KSK Dragon and Lion Dance Troupe (RM4,000) dan ketiga dimenangi pasukan Persatuan Tarian Singa Xuan Wu Selangor & Kuala Lumpur Malaysia (RM3,000).

Manakala kategori tradisional telah dijuarai Singapore Teng Yang Dragon and Lion Dance Association yang mengalahkan 16 pasukan lain dan menerima hadiah RM2,000 serta tempat kedua dimenangi Persatuan Naga & Singa Hong Yang Kuching Sarawak (RM1,500) dan tempat ketiga dimenangi Vietnam Ngoi Guan Kaiwei Lion and Dragon Dance Group (RM1,000).


Plaza Merdeka juga memberikan anugerah istimewa ‘King of Kings’ kepada juara campuran kategori tiang tinggi dan tradisional kepada pasukan Singapore Teng Yang Dragon and Lion Dance Association dengan tempat kedua kepada pasukan Pertubuhan Tarian Naga dan Singa Wen Ching Kelapa Sawait Johor Malaysia (A) serta tempat ketiga kepada pasukan Hawks Sport Club Sabah Malaysia.

Pasukan juara, tempat kedua dan ketiga dalam kategori tradisional pada Pertandingan Tarian Singa Antarabangsa Plaza Merdeka Ke-4.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee telah menyampaikan kesemua hadiah, piala dan pingat serta anugerah kepada pasukan pemenang pertandingan terbabit.

Majlis penyampaian hadiah terbabit juga dihadiri Pengarah Plaza Merdeka, Datin Azerina Mohd Arip, Pengurus Besar Plaza Merdeka, Cheah Kheng Mun, Ahli Dewan Bandaraya Kuching Utara, Dato Wee Hong Seng dan wakil Persatuan Komuniti Pasar Lama Kuching, Sim Kiang Chiok.

Keseluruhannya sebanyak 21 pasukan tarian singa menyertai pertandingan selama dua hari terbabit dari lima negara iaitu Malaysia, Vietnam, Singapura, Indonesia dan China yang menawarkan hadiah wang keseluruhannya sebanyak RM30,200.

Disamping itu, Plaza Merdeka juga mengganggarkan dapat menarik kunjungan hampir seramai 5,000 orang ke pusat beli belah itu bagi menonton pertandingan tersebut. — DayakDaily